
BMW Motorrad Malaysia memperkenalkan varian terbaharu BMW R 1300 GS untuk pasaran tempatan, kali ini dilengkapi teknologi Automated Shift Assistant (ASA) yang membolehkan kawalan klac dan pertukaran gear dilakukan secara automatik.
Ditawarkan pada harga RM145,000 atas jalan tanpa insurans, varian baharu ini meneruskan evolusi R 1300 GS yang pertama kali diperkenalkan di Malaysia ketika Malaysia Autoshow 2024.
Kemas kini terbesarnya sudah tentu tertumpu kepada ASA, teknologi yang dibangunkan bagi mengurangkan beban penunggang terutama ketika melalui laluan yang sesak, melakukan pergerakan perlahan atau perjalanan jarak jauh.
Automated Shift Assistant boleh dianggap sebagai evolusi kepada sistem Gear Shift Assistant Pro BMW Motorrad.
Menerusi sistem ini, operasi klac dikendalikan secara elektronik tanpa memerlukan penunggang mengawal tuil klac secara manual ketika mula bergerak, berhenti atau menukar gear.
Bagaimanapun, penunggang masih diberikan pilihan bagaimana mereka mahu motosikal tersebut menukar gear.
Dalam mod M, penunggang sendiri memilih gear menggunakan pedal gear seperti biasa, manakala ASA akan mengendalikan klac secara automatik.
Sementara itu, mod D membolehkan proses pertukaran gear dilakukan sepenuhnya secara automatik berdasarkan beberapa parameter termasuk kelajuan enjin dan beban enjin.
Ini bermakna penunggang boleh memilih pengalaman yang lebih konvensional ketika mahu menikmati karakter motosikal, atau membiarkan sistem menguruskan pertukaran gear ketika mahukan perjalanan yang lebih santai.
Teknologi ASA turut menjadi sebahagian daripada Dynamic Package yang merangkumi Dynamic Suspension Adjustment (DSA), Gear Shift Assistant Pro, Riding Modes Pro serta Sports Brake.
Selain ASA, BMW R 1300 GS terbaharu ini turut menerima beberapa pakej kelengkapan yang memberi fokus kepada penggunaan jarak jauh.
Touring Package merangkumi persediaan untuk peranti GPS, Central Locking System, sambungan pelindung tangan serta pemegang kotak sisi kiri dan kanan.
Comfort Package pula menawarkan Passenger Kit, cermin hadapan yang boleh dilaraskan secara elektrik dan tongkat tengah.
Turut ditawarkan sebagai kelengkapan standard ialah Adaptive Height Adjustment, lampu hadapan Deluxe serta bateri ringan M.
Adaptive Height Adjustment membantu menjadikan motosikal lebih mudah dikendalikan ketika berhenti atau bergerak pada kelajuan rendah dengan melaraskan ketinggian motosikal mengikut situasi tertentu.
Untuk pasaran Malaysia, BMW R 1300 GS dengan ASA boleh didapati dalam dua pilihan warna iaitu White Aluminium Metallic yang baharu serta Black Storm Metallic.
Bahagian mekanikal pula masih menggunakan enjin boxer dua silinder yang menjadi identiti keluarga BMW GS.
Enjin berkapasiti tepat 1300 cc itu menghasilkan kuasa maksimum 145 hp (107 kW) pada 7,750 rpm serta tork maksimum 149 Nm pada 6,500 rpm.
Menurut BMW Motorrad, ia merupakan enjin boxer paling berkuasa pernah digunakan pada model produksi bersiri jenama itu.
Susunan mekanikalnya juga lebih kompak apabila transmisi ditempatkan di bawah enjin, membantu mengurangkan saiz keseluruhan unit kuasa.
BMW R 1300 GS mencatatkan berat sekitar 237 kg, sekali gus membolehkan model tersebut mengekalkan keseimbangan antara keupayaan jelajah jarak jauh, pengendalian dan prestasi di laluan mencabar.
Kehadiran ASA tidak mengubah konsep asas GS sebagai motosikal adventure, sebaliknya memberi satu lagi pilihan kepada penunggang yang mahukan pengalaman tunggangan lebih mudah tanpa mengorbankan kemampuan untuk mengawal pemilihan gear sendiri.
BMW R 1300 GS dengan Automated Shift Assistant ditawarkan pada harga RM145,000 atas jalan tanpa insurans.
Harga tersebut termasuk waranti BMW Motorrad Malaysia selama tiga tahun serta program bantuan tepi jalan selama tiga tahun.
Menerusi pelan pembiayaan BMW Group Financial Services Malaysia, pemilikan model ini ditawarkan dengan anggaran bayaran bermula RM2,048 sebulan, berdasarkan pembiayaan Straight Line pada kadar rata 4.50 peratus, pinjaman 90 peratus dan tempoh tujuh tahun.
Pemilik turut mempunyai akses kepada program Premium Engine Oil Inclusive, Service Inclusive dan Warranty Extension yang ditawarkan BMW Motorrad Malaysia.
Baca Juga : BMW Group Malaysia, UM Pasang Stesen Pengecas Telefon Guna Bateri EV Terpakai
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.