Aprilia RS457, model sport yang mencuri tumpuan di peringkat global sejak pelancarannya tahun lalu. Kini rasmi berada di Malaysia dengan harga bermula RM33,900.
Untuk harga tersebut, anda boleh memilih antara warna Prismatic Dark dan Opalescent Light. Manakala warna Racing Stripes berharga sedikit lebih tinggi, iaitu RM35,900.
Direka dengan penuh ketelitian, RS457 adalah model yang membawa elemen prestasi tinggi dengan gaya sporty dalam pakej yang kompak dan menyeronokkan untuk ditunggang.
RS457 ini dilengkapi enjin dua silinder selari DOHC berkapasiti 457 cc. Dipadankan dengan transmisi enam kelajuan. Ia mampu menghasilkan kuasa hingga 47 hp pada 9,400 rpm dan tork maksimum 43.5 Nm pada 6,700 rpm.
Dengan berat keseluruhan hanya 175 kg (termasuk minyak), Aprilia memastikan nisbah kuasa kepada berat yang sangat mengagumkan, menjadikan RS457 ini setanding dengan model sport terkenal seperti KTM RC390, Kawasaki Ninja 400/ZX-4R dan CFMoto 450SR.
Dari segi pengendalian, RS457 tidak ketinggalan untuk menawarkan pengalaman menunggang yang lincah dan stabil. Bahagian hadapan dilengkapi dengan fork USD yang mempunyai pelarasan pra beban dan jarak gerak 120 mm.
Di bahagian belakang pula, terdapat monoshock dengan pelarasan pra beban, serta jarak gerak 130 mm. Memberikan kestabilan semasa mengambil selekoh tajam atau melalui jalan yang kurang rata.
Sistem brek RS457 juga sangat mantap, menggunakan angkup Bybre empat piston dan cakera berukuran 320 mm di bahagian hadapan. Manakala di belakang terdapat angkup satu piston dan cakera 220 mm. Dengan sistem ABS standard, penunggang boleh memilih antara mod dual-channel atau single-channel mengikut kesesuaian dan keperluan menunggang.
Untuk memenuhi pelbagai gaya menunggang, RS457 menyediakan tiga mod tunggangan dan tiga tahap kawalan cengkaman yang boleh diubah atau ditutup sepenuhnya.
Bagi yang inginkan lebih kelancaran dalam peralihan gear, quickshifter turut ditawarkan sebagai pilihan aksesori tambahan. Motosikal ini hadir dengan tangki bahan api berkapasiti 13 liter, cukup untuk perjalanan jarak jauh tanpa perlu sering berhenti mengisi minyak.
Aprilia RS457 dilengkapi skrin TFT berwarna 5 inci yang menyediakan informasi penting secara jelas dan mudah dibaca. Jika anda mahukan lebih fungsi, seperti sambungan kepada telefon pintar untuk navigasi, notifikasi, atau kawalan muzik. Sistem Aprilia MIA juga boleh ditambah tetapi dijual secara berasingan.
Dengan spesifikasi hebat dan harga yang kompetitif, Aprilia RS457 menawarkan satu lagi pilihan menarik dalam segmen motosikal sport untuk penunggang di Malaysia. Bukan sahaja tampil dengan reka bentuk yang memukau. Tetapi juga dilengkapi dengan teknologi dan ciri prestasi yang pasti memenuhi keperluan peminat motosikal yang inginkan sesuatu yang berbeza.
Dari PaulTan
Baca Juga Spyshot Terkini, Aprilia Tuono V4 2025
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.