Memandu ketika dalam cuaca hujan di Malaysia sememangnya berbahaya dengan keadaan jalan raya yang tidak rata serta permukaan jalan yang licin di sesetengah tempat.
Merujuk artikel Harian Metro 3 Oktober 2022, berlaku satu kemalangan bas persiaran yang membawa 29 penumpang termasuk dua pemandu di Kilometer 60.2 Lebuhraya Utara Selatan, dipercayai akibat jalan licin ketika hujan renyai.
Hasil siasatan mendapati bas persiaran terbabit dipercayai hilang kawalan dan terbabas ke sebelah kiri jalan. Jadi di sini penulis ingin berkongsi 9 tip ketika memandu dalam keadaan hujan lebat.
1.Pandu Perlahan
Perkara asas jika memandu ketika hujan adalah memperlahankan kenderaan anda. Jalan yang basah menjadikan keadaan jalan licin serta berisiko untuk kemalangan, walaupun anda menggunakan tayar yang berprestasi baik. Ambil masa dan jangan tergopoh-gapah ketika memandu.
2.Awasi Jalan Berlubang
Apabila jalan berlubang dipenuhi air, amat sukar untuk kita mengetahui kedalaman lubang tersebut. Jika anda tidak dapat mengelak melalui kawasan jalan yang rosak atau berlubang, sekurang-kurangnya pastikan anda tidak menekan brek apabila kenderaan anda terpaksa melaluinya.
Lubang yang dalam serta dipenuhi air boleh menyebabkan air memasuki bahagian enjin dan boleh menyebabkan kerosakan pada bahagian hadapan yang terdedah.
3.Jaga Jarak Anda
Biasakan diri anda dengan “Peraturan Tiga Saat” . Pilih penanda arah dan apabila kereta lain melepasinya, anda mula mengira “seribu satu, seribu dua, seribu tiga” sebelum anda melepasi penanda yang sama. Untuk situasi yang sesak teruk, teruskan mengira; “seribu empat, seribu lima, seribu enam.”
Dengan cara ini, dalam kecemasan, anda akan mempunyai lebih banyak masa untuk bertindak balas dan memberhentikan atau mengelakkan insiden yang tidak di ingini.
4.Pastikan Tayar Anda Dalam Keadaan Baik
Pemeriksaan menyeluruh kenderaan anda terutama sekali bahagian tayar akan dapat mengurangkan risiko kemalangan serta pemanduan akan lebih stabil, ini kerana sebagai pemandu, kita akan sedar jika kenderaan kita mempunyai kehausan yang tidak sekata.
Selain itu, periksa tekanan tayar setiap bulan, dan pastikan tayar anda mengembang mengikut tekanan angin yang dicadangkan oleh pengeluar.
5.Matikan Traction Control
Jika traction control dihidupkan, ia akan mengesan kawalan tayar yang tidak selari dan cuba untuk mengimbanginya. Hasilnya, kenderaan anda akan automatik memecut secara mendadak dan itu adalah perkara terakhir anda perlukan ketika di atas jalan raya ketika hujan lebat.
6.Kurangkan Risiko Hydroplaning
Hidroplaning ialah apabila kenderaan anda tergelincir tanpa kawalan di permukaan jalan yang basah. Jika tayar anda mula melakukan hidroplaning, refleks pertama anda mestilah untuk kekal bertenang dan lepaskan kaki anda daripada pedal minyak.
Jika terdapat alur air yang ketara di tengah-tengah lebuh raya dan ianya bertakung dalam hujan, elakkan memandu ke arahnya, walaupun anda terpaksa memperlahankan kenderaan atau bertukar lorong.
7.Berhati-Hati Apabila Berhenti
Apabila memandu terutama sekali di kawasan bandar, pastikan anda peka dengan keadaan sekeliling. Jika menghampiri kawasan persimpangan perlahankan kenderaan dengan lebih awal dan berhenti secara selamat.
Ini kerana di kawasan persimpangan, permukaan jalan adalah lebih licin dan merbahaya kerana percikan air dari kenderaan lain menyebabkan kawasan tersebut akan ditakungi air.
8.Pastikan Anda Boleh Dilihat
Lampu nyalaan siang tidak mencukupi untuk membantu penglihatan anda semasa hujan. Bergantung pada jenama dan model kenderaan, lampu belakang tidak selalu menyala pada masa yang sama.
Anda harus menghidupkan lampu hadapan dan lampu belakang untuk memastikan anda kelihatan jelas kepada pemandu di hadapan dan di belakang walaupun pada waktu siang.
9.Jika Penglihatan Menjadi Terhad Maka Berhenti Sementara Waktu
Jika hujan turun dengan lebat sehingga penglihatan anda terganggu, pemanduan akan menjadi lebih berbahaya, apa yang anda perlu buat ?
Pilih tempat yang selamat untuk berhenti, jika anda berada di lebuh raya, cuba pergi ke kawasan rehat seterusnya. Jika tidak, berhenti di bahu jalan sejauh yang mungkin dari jalan raya.
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.