Lebuhraya Rawang-Serendah atau lebih dikenali sebagai Rawang Bypass merupakan salah satu projek infrastruktur yang menarik perhatian ramai.
Pembinaan lebuhraya ini mengambil masa 12 tahun dan menelan belanja sebanyak RM628 juta.
Berikut adalah tujuh fakta menarik mengenai Rawang Bypass yang mungkin anda belum tahu:
Bagi penduduk Lembah Klang, kehadiran tol di setiap jalan utama sering menjadi rungutan. Oleh itu, pembukaan Rawang Bypass tanpa tol adalah satu berita gembira.
Jalan ini menyediakan laluan alternatif tanpa bayaran tol, memudahkan perjalanan harian antara Kuala Lumpur dan Rawang.
Tidak mustahil jika lebih banyak jalan tanpa tol diperkenalkan pada masa hadapan.
Projek pembinaan Rawang Bypass pernah tergendala selama 2132 hari atau hampir enam tahun. Penangguhan ini disebabkan oleh prosedur dan proses-proses daripada pihak ketiga yang berada di luar kawalan Jabatan Kerja Raya (JKR).
Sebelum adanya Rawang Bypass, perjalanan dari Bandar Rawang ke Kuala Lumpur pada waktu puncak boleh memakan masa hingga dua jam.
Kini, dengan lebuhraya empat lorong ini, masa perjalanan dapat dipendekkan kepada hanya 30 minit walaupun pada waktu puncak.
Lebuhraya ini dibina melalui Taman Warisan Negeri Selangor yang berkeluasan 108,000 hektar, taman warisan ketiga terbesar di Semenanjung Malaysia.
Pemandu akan disajikan dengan pemandangan alam semula jadi yang menenangkan sepanjang perjalanan.
Rawang Bypass dibina dengan ketinggian yang luar biasa dan jalan yang bengkang-bengkok bagi mengelakkan penebangan pokok yang berlebihan dan menjejaskan ekosistem.
Jalan yang beralun ini membantu mengekalkan sebahagian besar pokok di bawah binaan lebuhraya.
Giam Kanching adalah spesies pokok yang hanya terdapat di Malaysia dan hanya di Taman Warisan Negeri Selangor.
Disebabkan nilai ekologinya yang tinggi dan statusnya sebagai spesies terancam, langkah-langkah telah diambil untuk melindungi pokok ini semasa pembinaan lebuhraya.
Fakta yang paling menarik adalah Rawang Bypass memiliki jalan bertingkat sepanjang 2.6 kilometer dan setinggi 60 meter.
Ini menjadikannya antara jalan bertingkat tertinggi di Malaysia.
Bayangkan anda memandu kereta convertible di sini, dengan pemandangan hutan dan angin sepoi-sepoi bahasa. Memang pengalaman yang menakjubkan!
Rawang Bypass bukan sekadar jalan raya biasa. Ia merupakan contoh bagaimana pembangunan infrastruktur boleh selaras dengan pemeliharaan alam sekitar.
Sumber Artikel : Facebook Isu Semasa Online
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.