Siapa tidak kenal dengan jenama motosikal tempatan kita, Motosikal dan Enjin Nasional Sdn. Bhd, atau lebih dikenali sebagai Modenas. Terletak di Gurun, Kedah, Modenas telah mengeluarkan pelbagai model motosikal kecil berkapasiti 200cc untuk pasaran tempatan dan antarabangsa. Salah satu model yang paling terkenal dan masih menjadi pilihan rakyat Malaysia hingga hari ini ialah Modenas Kriss.
Namun, pengeluaran motosikal Modenas tidak terhad kepada model Kriss sahaja pada ketika itu. Terdapat juga model-model lain yang jarang ditemui atau mungkin sudah tidak lagi di pasaran. Untuk generasi baharu yang ingin mengenali lebih dekat tentang model-model ini, mari kita kongsikan beberapa model ikonik yang pernah dikeluarkan oleh Modenas suatu ketika dahulu.
Tahukah anda, Modenas pernah mengeluarkan motosikal elektrik untuk pasaran? Dikenali sebagai Modenas CTric, model ini dihasilkan sepenuhnya di Malaysia pada tahun 2011 dengan 80% komponen tempatan dan hanya 20% komponen diimport dari China.
Ketika dilancarkan, MODENAS CTric dijual pada harga sangat berpatutan iaitu RM4,888 seunit, termasuk cukai jalan dan insurans. Motosikal elektrik ini berjaya mendapat kelulusan piawaian SIRIM dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), menjadikannya motosikal elektrik pertama yang memenuhi standard piawaian di Malaysia.
Sebelum hadirnya CTric, Modenas telah mengeluarkan model CT 110. Dilancarkan pada 23 Oktober 2009, nama CT bermaksud “Citarasa Terkini” dan dilengkapi dengan enjin berkapasiti 110 cc. Motosikal ini menarik perhatian ramai dengan saiz tangki petrol yang lebih besar berbanding motosikal seangkatannya pada ketika itu, iaitu 5.3 liter.
Baca juga : Modenas CTric Motosikal Elektrik Pertama Malaysia
Dilancarkan pada Mac 2009, Modenas GT 128 membawa tema “Transformasi Generasi Terkini”. Motosikal ini mempunyai rekaan sporty dan agresif serta menggunakan sportrim dan sistem brek yang sama seperti model Modenas Dinamik. GT 128 juga dipasarkan ke Greece dengan nama Modenas GT 135 dan mendapat sambutan hangat di pasaran Eropah. Model ini juga pernah menjadi saingan sengit Yamaha 135LC V1 pada waktu itu.
Modenas X-Cite dilancarkan pada tahun 2006 dengan reka bentuk yang luar jangkaan dan unik berbanding pesaingnya. Tangki petrol motosikal ini terletak di bahagian dada motosikal dan mempunyai kapasiti 3.8 liter. Model ini juga dipasarkan ke Indonesia dan Thailand dengan nama Kawasaki ZX 130.
Antara semua model Modenas, Ace 115 boleh dianggap paling unik dan jarang ditemui. Dilancarkan pada tahun 2012, motosikal ini dijual pada harga permulaan RM4,598. Sayangnya, ia tidak mendapat perhatian yang sepatutnya disebabkan persaingan sengit daripada pengeluar lain pada masa itu. Namun, jika anda menjumpainya pada tahun 2024, pasti sukar untuk percaya bahawa ia adalah motosikal buatan tempatan.
Mengungkap kembali sejarah motosikal Modenas memang menarik. Ini hanya sebahagian daripada model yang pernah dikeluarkan oleh Modenas. Terdapat juga model-model lain yang tidak kurang hebatnya seperti Modenas Elit, Jaguh, Kristar dan sebagainya. Semoga artikel ini dapat memberikan sedikit sebanyak gambaran tentang warisan hebat yang dibawa oleh Modenas dalam industri motosikal tempatan.
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.