PUSPAKOM telah menganjurkan majlis iftar Ramadhan di Glenmarie Hotel & Golf Resort semalam.
Majlis ini telah menghimpunkan pengamal media, kepimpinan syarikat dan warga emas daripada Rumah Seri Kenangan Cheras.
Majlis yang berlangsung bukan sekadar acara berbuka puasa, tetapi merupakan simbol kepada kesinambungan tradisi, penghargaan terhadap komuniti, dan transformasi yang sedang dijalani oleh PUSPAKOM sebagai institusi teras dalam keselamatan jalan raya Malaysia.
Bertemakan “Tradisi Disyukuri, Ramadhan Mubarak”, majlis ini turut meraikan ulang tahun ke-30 PUSPAKOM sebagai peneraju pemeriksaan kenderaan di negara ini.
Dalam tempoh tiga dekad itu, PUSPAKOM merupakan pemain penting dalam memastikan pematuhan terhadap standard keselamatan kenderaan di Malaysia.
Selain itu PUSPAKOM juga turut menjadi pelopor dalam mengangkat integriti dan ketelusan dalam industri automotif.
Ketua Pegawai Eksekutif PUSPAKOM, Encik Mahmood Razak Bahman, dalam ucapan perasmiannya menyatakan bahawa sambutan ini adalah peluang untuk merenung kembali perjalanan yang telah dilalui sambil menghargai setiap individu dan pihak yang menjadi sebahagian daripada kejayaan PUSPAKOM.
“lftar ini adalah saat untuk kita merenung dan menghargai perjalanan yang telah kita lalui bersama rakan media, serta mengenang warga emas yang menjadi simbol ketabahan dan kebijaksanaan,” ujar Mahmood.
Turut berlangsung adalah sesi penyerahan “duit raya” kepada 20 orang warga emas dari Rumah Seri Kenangan Cheras bersama penjaga mereka.
Tayangan montaj khas yang mengimbau kenangan Ramadan para tetamu warga emas bukan sahaja menyentuh perasaan, malah memperlihatkan sisi kemanusiaan yang semakin kukuh dalam budaya korporat PUSPAKOM.
Selain itu, pratonton eksklusif episod akhir “Inspection Hati Aidil”
, sebuah siri web berjenama pertama yang dihasilkan oleh PUSPAKOM juga turut ditayangkan.Siri ini membawa penonton menyelami dunia sebenar Pemeriksa Kenderaan, memperlihatkan cabaran, integriti dan komitmen mereka dalam melindungi keselamatan pengguna jalan raya.
Langkah PUSPAKOM meneroka medium kandungan digital seperti YouTube menerusi saluran rasmi mereka @puspakomofficial, memperlihatkan kesediaan mereka bergerak seiring dengan era teknologi dan media baharu.
Ketika negara melangkah ke era digital dan mobiliti pintar, PUSPAKOM tidak ketinggalan.
Menurut Mahmood, syarikat kini sedang melalui fasa transformasi dengan memberi fokus kepada inovasi, ketelusan dan kecemerlangan perkhidmatan.
“Selama 30 tahun, PUSPAKOM menjadi penanda aras dalam pemeriksaan kenderaan dan keselamatan jalan raya. Kini, ketika kami memasuki fasa baharu, kami menggandakan usaha ke arah kecemerlangan perkhidmatan, inovasi, dan integriti untu memastJ an setiap kenderaan di jalan raya Malaysia selamat,” tambah Mahmood.
Beliau menegaskan bahawa keselamatan jalan raya bukan sekadar satu tanggungjawab, ia adalah legasi yang perlu dipertahankan demi generasi akan datang.
Majlis iftar ini bukan sekadar memenuhi tuntutan sosial korporat, tetapi lebih daripada itu.
Ia juga menjadi lambang kepada gabungan nilai tradisi, keprihatinan, dan visi masa depan industri automotif negara.
Acara ini dilihat sebagai bukti bahawa teknologi dan kemajuan tidak pernah harus mengorbankan nilai kemanusiaan dan warisan.
Dengan dasar yang semakin inklusif dan pendekatan yang lebih progresif, PUSPAKOM terus melakar sejarah dan memacu industri terus ke hadapan.
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Baca Juga : Cara Tukar Hak Milik Kenderaan Orang Telah Meninggal Dunia