
Sejak Carl Benz mempatenkan kereta bermotor pada 1886, diikuti pembinaan kenderaan bermotor empat roda oleh Gottlieb Daimler tidak lama selepas itu, Mercedes-Benz terus berkembang terus selama 140 tahun.
Bermula daripada perjalanan bersejarah Bertha Benz, pelbagai pencapaian prestasi dan inovasi keselamatan diperkenalkan, sebelum jenama ini melangkah ke era teknologi bantuan pemandu dan kereta konsep yang memacu kecekapan serta prestasi masa hadapan.
Tahun 2026 turut menandakan permulaan program pelancaran produk terbesar Mercedes-Benz, bermula dengan tayangan perdana S-Class baharu pada 29 Januari 2026.
Dalam tempoh dua tahun akan datang, lebih 40 model baharu akan diperkenalkan, merangkumi model elektrik, kemas kini utama serta model berteknologi tinggi yang membawa DNA Mercedes-Benz ke generasi seterusnya.
Pada 29 Januari 1886, Carl Benz memohon paten untuk kenderaan bermotor tiga roda yang kini dianggap “sijil kelahiran” automobil. Dalam masa yang hampir sama, Daimler dan Wilhelm Maybach pula memasang enjin pembakaran berkelajuan tinggi pada sebuah kenderaan berasaskan kereta kuda dan lahirnya automobil empat roda terawal.
Jika hari ini kita kenal istilah content creator, Bertha Benz boleh dianggap perintisnya. Pada 1888, beliau memandu dari Mannheim ke Pforzheim dalam perjalanan jarak jauh pertama dunia menggunakan kereta.
Misi itu untuk “membuktikan” bahawa automobil boleh digunakan secara praktikal. Antara kisah ikoniknya adalah masalah karburetor tersumbat diselesaikan dengan pin topi. Perkara ini dilihat sebagai hal kecil, tetapi memberi impak besar pada naratif inovasi automotif.
Satu lagi lonjakan penting berlaku pada 1900 apabila Wilhelm Maybach menghasilkan Mercedes 35 hp. Rekabentuknya jauh berbeza daripada struktur kereta kuda, lebih rendah, lebih stabil, lebih berprestasi dan inilah yang sering dianggap permulaan era automobil moden.
Dari sini, semangat “berani ubah konsep” itu terus hidup, daripada kajian aerodinamik ekstrem sehingga kereta konsep yang menjadi makmal bergerak teknologi baharu.
Ramai ingat EV hanya fenomena moden, tetapi Mercedes sudah lama bereksperimen dengan elektrifikasi dan hibrid.
Pada 1906, wujudnya Mercedes-Électrique dengan motor hub pada roda, hasil pemikiran awal sistem Lohner-Porsche.
Kemudian pada era 1970-an, Mercedes memperkukuh penyelidikan pacuan alternatif, menghasilkan pelbagai prototaip bateri, sel bahan api dan hibrid. Antaranya ujian lapangan awal 1990-an (termasuk kenderaan elektrik bateri), siri NECAR bermula 1994 (sel bahan api), dan SLS AMG E-Cell pada 2010 sebagai antara mercu tanda era moden.
Pada 2022, VISION EQXX mencatat perjalanan 1,202 km dari Stuttgart ke Silverstone dengan satu cas, menjadikan ia simbol bahawa “range anxiety” boleh ditewaskan melalui aero, berat, perisian dan pengurusan tenaga.
Lebih penting, teknologi daripada projek ini dikatakan mengalir ke model produksi seperti CLA elektrik generasi baharu.
Mercedes bukan hanya ada teknologi; ia juga ada ikon yang membina “aura” jenama.
300 SL “Gullwing” (1954) misalnya, jadi simbol gabungan teknologi lumba dan reka bentuk ikonik dan pernah dinobatkan “Sports Car of the Century”.
S-Class pula bukan sekadar sedan mewah, ia platform yang kerap menjadi pentas teknologi baharu Mercedes. Sementara G-Class membuktikan satu reka bentuk yang mempunyai DNA off-road boleh kekal relevan merentas generasi.
Mercedes-AMG mencatat kejayaan besar dalam Formula 1 era moden, dan motorsport sering berperanan sebagai makmal teknologi.
Pada masa sama, ujian ketahanan juga jadi budaya daripada ujian ekstrem di Nürburgring pada era awal, hingga fasiliti Immendingen sejak 2015 yang menjadi lokasi majoriti ujian jarak jauh pembangunan model baharu.
Mercedes kini melihat kereta bukan sekadar mesin mekanikal, tetapi platform perisian.
MB.OS diperkenalkan sebagai sistem operasi kenderaan yang menyatukan infotainmen, bantuan pemandu, kawalan trenkuasa dan perkhidmatan awan pada satu seni bina.
Bergantung dengan teknologi bantuan pemandu (MB.DRIVE), pendekatan ini menyasarkan pengalaman yang lebih konsisten, kemas kini over-the-air lebih pantas, dan fungsi baharu yang boleh berkembang sepanjang pemilikan.
Selepas 140 tahun, mesej yang cuba ditegaskan Mercedes-Benz adalah jelas iaitu warisan bukan untuk disimpan dalam muzium semata-mata, tetapi dijadikan “bahan api” untuk reka bentuk, teknologi dan budaya inovasi.
Daripada paten 1886 sehinggalah era elektrifikasi dan perisian, Mercedes terus meletakkan kemajuan sebagai prinsip dengan satu janji yang mereka mahu kekalkan iaitu setiap generasi kereta mesti terasa seperti “Mercedes” dari saat anda duduk di belakang stereng.
1) 1886: Paten “Motorwagen” – kelahiran automobil
2) 1888: Perjalanan Bertha Benz – bukti kereta boleh digunakan di dunia sebenar
3) 1900: Mercedes 35 hp – era kereta moden bermula
4) 1926: Lahirnya nama Mercedes-Benz + logo bintang dikelilingi wreath
5) 1959: Konsep badan keselamatan + ujian pelanggaran sistematik
6) 1978: ABS debut pada S-Class
7) 1981: Beg udara produksi pada S-Class
8) 1995: ESP® – standard baharu keselamatan aktif
9) 2002: PRE-SAFE® – keselamatan “pra-kemalangan”
10) 2022–2025: VISION EQXX & MB.OS – kecekapan + perisian jadi teras masa depan
Baca Juga : Mercedes-Benz Malaysia Memperkenalkan CLA Elektrik Generasi Baharu
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.