Pertengahan tahun lalu, Mercedes-AMG telah memperkenalkan SUV GLC berprestasi tinggi dalam barisan GLC 43 dan GLC 63 S E Performance. Namun, mungkin terdapat reaksi peminat AMG yang mahukan sebuah model berprestasi sama dengan casis yang lebih besar.
Justeru itu, lahirlah sebuah model AMG dalam versi SUV Coupe yang digelar GLC 43 dan GLC 63 S E Performance. Secara dasarnya, spesifikasi masih sama dengan model badan standard, cuma sedikit penalaan telah dilakukan untuk menyesuaikan prestasi dan casis kereta yang baharu ini.
GLC 43 membawakan nadi 2.0 liter turbo berkuasa 416 HP dengan kuasa motor elektrik kecil setinggi 13 HP. Manakala, GLC 63 S E Performance pula mempunyai spesifikasi yang lebih tinggi sedikit iaitu enjin 2.0 liter turbo dengan hamburan kuasa 469 HP yang turut digandingkan dengan motor elektrik berkuasa 201 HP.
Ini menjadikan model GLC 63 S E Performance berkuasa setinggi 671 HP dan daya kilas 1,020 Nm. Selain itu, sistem pacuan semua roda 4MATIC dengan transmisi AMG Speedshift sembilan nisbah kelajuan turut tersedia untuk kedua-dua model tersebut.
Dari segi prestasi, pecutan 0-96km/j adalah sekitar 4.7 saat untuk GLC 43 manakala GLC 63 hanya mengambil masa selama 3.4 saat sahaja. Kelajuan maksimum bagi model GLC 43 adalah setinggi 250 km/j dan untuk GLC 63 adalah sekitar 275 km/j.
Perbezaan antara dua model ini terletak pada bahagian ruang kargo yang mana GLC 63 S E menawarkan ruang sebesar 391 liter atau sehingga 1,334 liter apabila tempat duduk baris kedua dilipat.
Untuk GLC 43 pula, ia lebih besar dengan kapasiti muatan 544 liter yang turut mempunyai perincian sama seperti GLC 63. Jika dilipat kerusi baris kedua, ia mampu menambah ruang kargo sehingga 1,489 liter.
Harga jualan bagi kedua-dua model ini masih tidak didedahkan lagi, namun Mercedes-AMG bakal mengeluarkan model GLC 43 terlebih dahulu untuk tahun 2024, manakala model GLC 63 S E Performance akan dipasarkan pada tahun 2025.
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
UMW TOYOTA MOTOR Catat Peningkatan Jualan Positif, Perkukuhkan Keunggulan Dalam Industri Automotif
UMW Toyota Motor sekali lagi mencatat pencapaian cukup mantap dengan mencapai jumlah penjualan bulanan sebanyak 10,931 unit. Ia merupakan pencapaian bulanan tertinggi dalam lima tahun terakhir. Dari jumlah itu, sebanyak 10,709 unit merupakan jualan untuk Toyota manakala 222 unit lagi adalah untuk Lexus.
Pencapaian gemilang ini mendorong jumlah jualan tahunan mereka hingga Oktober 2023 kepada 87,422 unit, berbanding dengan 80,153 unit dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya, mewakili peningkatan sebanyak 9.1% dalam jualan tahunan untuk sepuluh bulan pertama tahun ini berbanding tahun sebelumnya.
Komitmen UMW Toyota Motor dalam penyempurnaan proses pengeluaran di kompleks Bukit Raja dan Shah Alam terus membuahkan hasil dengan operasi yang lebih efisien dan peningkatan kapasiti. Penambahbaikan terus dilakukan dalam proses CKD (Completely Knocked Down), menandakan tekad mereka untuk kecemerlangan dalam pengeluaran.
Kehadiran model Toyota Alphard & Vellfire 2023 menjadi lambang kejuruteraan yang tepat, mengimbangi kecekapan dan keanggunan. Enjin baharu 2.4L 16-valve DOHC dengan turbocharger dan intercooler memberikan prestasi unggul tanpa mengabaikan kemewahan yang menjadi ciri utama Toyota.
Sebagai komitmen untuk meningkatkan pengalaman membeli, UMW Toyota Motor turut melancarkan pelbagai promosi di bulan November di bawah tajuk “Celebrate the Symphony of Lights”. Pelanggan Toyota berpeluang mendapatkan pembiayaan sehingga 100% untuk model-model terpilih, dengan faedah promosi sehingga RM15,000 tersedia untuk pelbagai model Toyota, termasuk Vios facelift dan Toyota Yaris baharu. Program Toyota Service Savers turut ditawarkan dengan ansuran bulanan yang mudah bermula dari RM18.
Usaha memulihara alam sekitar menjadi fokus utama UMW Toyota Motor melalui penyertaan aktif dalam Inisiatif Pucuk Hijau UMW (UGS) di Hutan Simpan Kubang Badak, Langkawi. Mereka berusaha mencapai matlamat menanam 12,000 pokok pada tahun 2023, dengan penekanan khusus kepada pokok bakau yang memberikan manfaat alam sekitar yang besar. Langkah ini sejajar dengan komitmen Toyota dalam mencapai neutraliti karbon menjelang tahun 2050, memperlahankan pelepasan CO2 dan membawa kepada masa depan yang lebih lestari.
UMW Toyota Motor sekali lagi membuktikan komitmen mereka dalam menjana prestasi, inovasi, dan kesedaran alam sekitar dalam industri automotif. Dengan terus mencipta impak positif, mereka terus mempertahankan kedudukan cemerlang dalam landskap automotif global.
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Tren Maglev China Mampu Capai Kelajuan Maksimum 600 km/j
China sekali lagi mencipta sejarah dalam bidang pengangkutan apabila berjaya menguji tren maglev (magnetic-levitation) dalam tiub vakum, dengan sasaran mencapai kelajuan sehingga 4,000 kilometer per jam (km/j).
Teknologi ini menawarkan potensi untuk menghubungkan bandar dan kampung di seluruh negara dengan lebih cepat berbanding sebelum ini.
Ujian yang dijalankan baru-baru ini telah menunjukkan prestasi yang luar biasa, mengukuhkan lagi kedudukan China sebagai peneraju dalam inovasi pengangkutan berkelajuan tinggi.
Rekod Kelajuan dan Teknologi Canggih
Tren maglev China ini mampu mencapai kelajuan 623 kph dalam ujian, melebihi kelajuan tren komersial terpantas yang beroperasi hari ini.
Walaupun belum digunakan secara meluas, pada bulan Februari yang lalu, tren ini berjaya mencapai kelajuan lebih tinggi dalam ujian teknologi penting.
Menurut Korporasi Sains dan Industri Aeroangkasa China (CASIC), tren ini berjaya bergerak dengan stabil dalam tiub vakum sepanjang 2 kilometer, tetapi kelajuan spesifiknya masih dirahsiakan.
Teknologi maglev menggunakan daya tarikan dan tolak magnet untuk mengangkat dan menggerakkan tren di atas landasan.
Tanpa keperluan roda dan sistem brek berat, tren ini lebih ringan dan lebih efisien.
Pengurangan geseran dicapai dengan menggunakan tiga jenis magnet dalam tiub vakum rendah untuk “terbang”.
Cabaran dan Masa Depan
Walaupun terdapat banyak kelebihan, pembangunan rangkaian tren maglev besar-besaran menghadapi beberapa cabaran.
Profesor Andrew McNaughton, pakar dalam rel berkelajuan tinggi, menyatakan bahawa infrastruktur baru, seperti terowong vakum rendah di China, memerlukan kos yang tinggi dan tidak sesuai dengan tren atau landasan lama.
Selain itu, keperluan tenaga untuk mengoperasikan tren ini sangat besar.
Jumlah penumpang antara dua destinasi mungkin tidak mencukupi untuk membiayai kos pembinaan dan operasi maglev.
Isu bunyi juga merupakan cabaran besar, memerlukan pemasangan terowong dan penghalang bunyi yang mahal untuk melindungi komuniti sekitar.
Impian 4,000 km/j dan Kesan kepada Dunia
Masa depan tren maglev ini menjanjikan banyak perubahan.
Dengan kelajuan mencapai 1,000 km/j, tren ini boleh bersaing dengan pesawat udara. Ini boleh mengubah cara kita berfikir tentang pengangkutan antara bandar, membolehkan kawasan yang lebih jauh daripada bandar besar berkembang sebagai pusat komuter.
Selain itu, tren ini juga berpotensi mengurangkan pelepasan karbon dengan menggantikan pesawat penumpang di negara-negara tertentu.
Mao Kai, ketua teknikal projek ini, menyatakan bahawa tren maglev boleh mencapai kelajuan 4,000 km/j, melebihi rekod kelajuan pesawat SR-71 Blackbird.
Perbandingan dengan Tren Berkelajuan Tinggi Lain
Di seluruh dunia, tren berkelajuan tinggi telah lama menjadi ikon teknologi pengangkutan.
Sebagai contoh, tren TGV di Perancis dan tren peluru di Jepun telah beroperasi dengan kelajuan melebihi 250 km/j.
Namun, kebanyakan tren ini masih bergantung pada rel tradisional dan tidak dapat mencapai kelajuan yang tinggi seperti tren maglev.
Di Asia Tenggara, Indonesia baru-baru ini memperkenalkan laluan rel berkelajuan tinggi yang dibina oleh China, manakala India sedang membina laluan tren berkelajuan tinggi antara Mumbai dan Ahmedabad.
Ini menunjukkan bahawa tren berkelajuan tinggi menjadi trend global, dengan China berada di barisan hadapan dalam inovasi ini.
Kesimpulan
China terus menerajui dunia dalam inovasi pengangkutan dengan tren maglev mereka yang menakjubkan.
Walaupun cabaran dan kos yang tinggi, potensi untuk mengubah landskap pengangkutan global adalah nyata.
Masa depan pengangkutan berkelajuan tinggi semakin mendekati, membawa kita kepada era baru mobiliti yang lebih pantas dan efisien.
Sumber Artikel : Website abc.net.au
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
BMW Motorrad Persembah 4 Model Facelift Di Malaysia Autoshow 2024
BMW Motorrad Group Malaysia baru-baru ini telah mengumumkan ketibaan BMW CE 02 baharu, berserta tiga motosikal premium yang terdiri daripada BMW F 900 GS, BMW R 1300 GS dan BMW S 1000 XR.
Benjamin Nagel, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia menyatakan, “Kami berasa teruja untuk mempersembahkan barisan motosikal kami yang terbaharu di Malaysia Autoshow 2024.
Setiap motosikal melambangkan inovasi, yang mengintegrasikan aspek elektrifikasi, prestasi premium, serta reka bentuk yang canggih.”
BMW CE 02 Baharu
BMW Group Malaysia menegaskan komitmennya terhadap visi pengelektrifikasian bagi segmen Mobiliti Bandar dengan penawaran BMW CE 02. Jentera yang diberi jolokan “eParkourer” ini membawakan pacuan elektrik, reka bentuk dan juga solusi inovatif yang mengagumkan.
BMW CE 02 baharu tampil dengan teknologi dan rekaan futuristik yang mampu menambat hati para belia di Malaysia. Fokus untuk landskap urban, e-motosikal bertaraf premium ini hadir dengan roda bersaiz besar yang menjanjikan daya tahan serta pengalaman menunggang merentasi pelbagai permukaan jalan.
Roda hadapan BMW CE 02 dipadan oleh fork teleskopik hidraulik, manakala single-side swingarm serta komponen sistem suspensi di belakang. Tayar kenderaan dimuatkan pada roda aloi ringan yang mempunyai rekaan roda cakera kontemporari dan brek cakera.
Dimensi, Prestasi CE 02
Dengan fokus ke atas pengalaman tunggangan dinamik, e-motosikal premium ini hanya mempunyai berat 132 kg sahaj. Dari segi dimensi, ia berukuran panjang 1970 mm dan tinggi 1140 mm dari perisai anginnya.
BMW CE 02 membawakan output kuasa maksimum sebanyak 11 kW (15 hp) dan 55 Nm tork. Ia membolehkan pecutan 0 ke 50 km/j dalam tempoh sekitar 3 saat. Dirumus untuk persekitaran urban dan tunggangan bebas emisi, BMW CE 02 mampu mencecah kelajuan tertinggi 95 km/j.
Bateri, Jarak Perjalanan & lain-lain…
Dilengkapi dengan bateri ion litium 6 kWj, penunggang dapat menikmati jarak operasi maksimum sejauh 100 km. Proses pengecasan bateri ini juga dijadikan lebih mudah dengan rangkuman alat pengecas 900 W.
Tambahan lagi, keupayaan pengecasan pantas sehingga 1500W juga mampu mengurangkan waktu pengecasan kepada sekitar 1 jam 40 minit dari status bateri 20% hingga 80%. Manakala dari 0% hingga 100% akan mengambil masa 3 jam 30 minit, menjadikan pengalaman para penunggang lebih fleksibel.
Mod Tunggangan, Kosmetik CE 02
BMW CE 02 baharu menampilkan skrin paparan berwarna TFT 3.5 inci, dengan padanan aplikasi BMW Motorrad Connect. Aplikasi ini membekalkan kemudahan navigasi, status kenderaan serta statistik berguna untuk menaik taraf pengalaman menunggang.
E-motosikal premium ini turut didatangkan dengan tiga mod tunggangan secara standard, iaitu “Flow”, “Surf” dan “Flash”. Mod “Flow” mengoptimumkan tunggangan santai dalam landskap urban. Manakala mod “Surf” membekalkan pengalaman tunggangan serba dinamik untuk kesibukan kawasan bandar. Bagi mereka yang menginginkan ciri tunggangan yang lebih sporty, mod “Flash” adalah sempurna untuk anda.
Melengkapi perincian ini, BMW CE 02 baharu turut hadir dengan soket USB, fungsi tunggangan tanpa kunci, bantuan mengundur dan mod sangga (cradle) menerusi aplikasi BMW Motorrad Connect.
Ia membolehkan penunggang mengakses paparan tambahan melalui pad kekunci pada bar hendal dan ia merangkumi pendakap telefon bimbit secara standard, justeru memudahkan pengintegrasian teknologi semasa perjalanan.
BMW F 900 GS Baharu
Memperkenalkan F 900 GS baharu dengan keupayaan “offroad”, jelajah, dan kembara yang lebih unggul. Ia hadir dengan aneka fungsi dan teknologi serba inovatif yang disesuaikan untuk pasaran tempatan.
Memberi nafas baharu kepada kehandalannya, motosikal ini tampil dengan kegunaan offroad yang ditambah baik, pengurangan berat yang signifikan, iaitu sebanyak 14 kg yang menjadikan jumlah beratnya 219 kg.
F 900 GS baharu memuatkan teknologi pencahayaan yang canggih untuk menjamin daya lihat pada waktu siang dan malam yang lebih baik.
Kapasiti bahan api adalah sebanyak 14.5 liter dan tip ekzos dari Akrapovič. F 900 GS kini membawakan Enduro Pro Paket, yang meliputi fork teleskopik titanium terbalik yang boleh dilaras sepenuhnya dan pelbagai lagi perician untuk membantu penunggang.
Selain pembaharuan dari sudut dinamisme, BMW F 900 GS turut hadir dengan pelbagai kelengkapan yang praktikal serta mesra penunggang, ia termasuk pelindung enjin dan tangan, heated throttle dan menawarkan ciri kawalan dan ergonomik yang lebih sesuai.
Paparan instrumen TFT bersaiz 6.5 inci yang diperbaharui dengan pilihan Connect menawarkan ciri hubungan, navigasi dan sistem pengurusan panggilan telefon pintar. Para peminat juga pasti teruja dengan reka bentuk pelananya yang lebih ramping dan tirus, memastikan kestabilan dan juga keselesaan ketika menunggang secara offroad.
BMW R 1300 GS Baharu
Tunggangan BMW GS yang paling ikonik kini ditambah baik dengan pengurangan berat yang signifikan sebanyak 12 kg berbanding pendahulunya. Dengan menggabungkan ekzos baharu dan reka bentuk yang lebih ramping, BMW R 1300 GS memberikan pengendalian yang lebih lancar dan responsif untuk penunggang.
Model ini juga menampilkan enjin boxer 1300 cc baharu yang meningkatkan kuasa dan tork, memberikan prestasi yang lebih hebat dalam semua keadaan.
BMW R 1300 GS baharu menampilkan ciri pencahayaan yang canggih, termasuk pencahayaan waktu siang dan lampu hadapan LED matriks. Motosikal ini juga membawakan lampu hadapan LED tambahan yang meningkatkan daya lihat di luar jalan raya. Sementara Headlight Pro yang dinamik melaras dan mencahayakan laluan penunggang semasa membelok.
BMW R 1300 GS baharu hadir dalam warna Triple Black, Racing Blue Metallic dan Option 719 Tramuntana, setiap satu mencerminkan tema boxer GS yang ikonik dengan bentuk yang segak.
Prestasi R 1300 GS
Direka semula agar bersifat lebih kompak, jantung BMW R 1300 GS baharu ialah enjin boxer dua silinder yang ikonik. Hadir dengan nilai sesaran 1,300 cc, ia mampu menjana output berjumlah 107 kW (145 hp) dengan tork 149 Nm.
Pelarasan Suspensi Elektronik Dinamik (DSA) juga turut menerima kemas kini dan ia lebih responsif berdasarkan mod tunggangan dan keadaan jalan raya.
Model ini juga turut meningkatkan bilangan mod tunggangan yang ditawarkan. Kini hadir dengan empat pilihan berbanding tiga untuk memenuhi keperluan penunggang yang pelbagai.
Mod “Rain” dan “Road” menawarkan pengalaman tunggangan berciri boleh suai yang sempurna bagi pelbagai kondisi jalan raya. Mod “Eco” pula memaksimumkan penggunaan bahan api, membolehkan jentera ini ditunggang pada jarak maksimum dengan satu tangki penuh.
Sementara mod “Enduro” memperkayakan pengalaman menunggang off road dengan tetapan khas yang dirumus untuk laluan yang mencabar. Memudahkan penunggang untuk mengembara dengan lebih yakin.
Untuk perincian keselamatan, ia termasuk dengan ABS Pro untuk sistem brek yang lancar serta Kawalan Cengkaman Dinamik (DTC) untuk meningkatkan stabiliti. Motosikal ini menawarkan pengalaman tunggangan yang selamat dan mengujakan di atas semua jenis laluan.
BMW S 1000 XR Baharu
Untuk penunggang yang mencari prestasi tinggi dan pengembaraan jalan raya, BMW S 1000 XR baharu menawarkan pengalaman yang tiada tandingan. Dengan teknologi canggih, termasuk sistem suspensi dinamik dan mod tunggangan yang boleh disesuaikan. Jentera ini memastikan perjalanan yang selesa dan terkawal walaupun pada kelajuan tinggi.
BMW S 1000 XR baharu menampilkan teknologi pencahayaan yang canggih, hadir dengan indikator membelok LED, unit lampu belakang, serta lampu hadapan.
Lampu Tambahan LED yang baharu turut menambahbaik aspek pencahayaan. Sementara Headlight Pro DRL (Daytime Riding Light) meningkatkan tahap kebolehlihatan motosikal ini pada waktu siang. Penawaran warna yang standard bagi BMW S 1000 XR baharu meliputi Gravity Blue Metallic dan Blackstorm Metallic.
Prestasi S 1000 XR
S 1000 XR baharu dikuasakan oleh enjin sebaris empat silinder dengan output 170 hp dan 114 Nm tork. Kelajuan tertinggi melebihi 250 km/j.
Model ini juga membawakan empat mod tunggangan untuk kemudahan penunggang: Rain, Road, Dynamic, dan Dynamic Pro. Bukan itu sahaja, ia turut hadir dengan Kawalan Cengkaman Dinamik (DTC) dan fungsi DTC Wheelie generasi baru.
Selain itu, model baharu juga menawarkan Shift Assist Pro yang membolehkan gear ditukar dengan lancar tanpa penglibatan klac, meningkatkan lagi aspek kawalan dan juga prestasi. Turut memperkayakan ciri-ciri kemudahannya ialah aneka aksesori standard seperti Tunggangan Tanpa Kunci dan sistem pengantara pengecasan USB.
Harga runcit (atas jalan, dengan Waranti 3 Tahun serta Program Bantuan Tepi Jalan 3 Tahun oleh BMW Motorrad Malaysia, tanpa insurans) bagi barisan jentera yang terbaharu ini ialah:
BMW CE 02 Baharu | RM 38,500.00 |
BMW F 900 GS Baharu | RM 88,500.00 |
BMW S 1000 XR Baharu | RM 129,500.00 |
BMW 1300 GS Baharu | RM 138,500.00 |
dengan tawaran warna Option 719 Tramuntana | RM 149,500.00 |
Kehadiran barisan motosikal baharu ini bukan sahaja mencerminkan komitmen BMW dalam memajukan industri ini. Namun untuk memberikan pengalaman tunggangan yang tidak dapat dilupakan bagi peminat motosikal di Malaysia.
Baca: BMW R 18 Roctane Penerus Warisan dengan Gaya Moden yang Mempesona
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.